Fatin Nabila dilahirkan pada 27 Februari 1980. Anak pertama daripada dua beradik ini merupakan anak jati Terengganu yang amat meminati bidang penulisan. Sejak sekolah rendah lagi Fatin sudah berjinak-jinak dalam bidang yang digemarinya ini. Begitupun, bekas pelajar Sekolah Menengah Merchang ini tidak pernah menyimpan hasrat untuk bergelar penulis kerana cita-citanya lebih menjurus pada bidang kewartawanan. Namun, percubaan ‘suka-suka’nya membuahkan hasil apabila cerpen pertamanya yang berjudul Meniti Titian Kasih disiarkan di dalam akhbar Bacaria sewaktu beliau berusia 17 tahun. Bermula dari situlah, Fatin mula aktif berkarya. Selain novel, Fatin juga aktif menghasilkan sajak, cerpen dan pelbagai genre lagi.









