Karim Mohd

  1. home
  2. Author
  3. Karim Mohd
Karim Mohd

22 Published BooksKarim Mohd

KARIM MOHD (l. 1997) merupakan anak jati kelahiran Setiu, Terengganu yang dibesarkan oleh angin kampung, kebun dusun, semak belukar dan debur pantai. Minat menulisnya bertunas seawal bangku sekolah dengan dikepung pelbagai bahan bacaan yang menarik sepanjang masa kanak. Ketika di sekolah menengah, bakatnya dikesan oleh seorang guru matapelajaran Bahasa Melayu dan dia didorong mengirim karya ke akhbar dan majalah ketika masih belajar di Tingkatan 4.

Selepas lulus Sijil Pelajaran Menengah (SPM) di MRSM Besut, dia melanjutkan pengajian dan gagal dalam program asasi di sebuah universiti swasta di Putrajaya. Dia pulang ke kampung lalu bekerja sebagai peniaga santan di petak pasar emaknya selama setahun suntuk sambil mengasah bakat mengarang. Dalam tempoh itu, dia berpeluang menyertai program Minggu Penulis Remaja (MPR) 2017 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka yang dibimbing oleh sasterawan mapan Rosli K. Matari dan S.M. Zakir.

Didorong oleh minat yang semakin mendalam, dia terus mengarang puisi, cerpen dan esei secara eceran. Tulisan-tulisannya tersiar di akhbar SelangorKini, Berita Harian, Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, majalah Dewan Sastera, Tunas Cipta, Dewan Siswa, Solusi, Pentas, Pendidik dan laman siaran puisi dalam talian Tukang Puisi serta beberapa jurnal berkala seperti Svara dan Gong.

Kumpulan puisinya yang terkini, Halaman Kampung (2026) diterbitkan selang lapan tahun selepas penerbitan buku pertamanya. Manuskrip kumpulan puisi sulungnya, Nokturna (2018) memenangi Hadiah Utama Sayembara Puisi Kata-Pilar 1.0 dan Hadiah Utama Kumpulan Puisi dalam Hadiah Sastera Darul Iman III (HASDI III). Selain itu, dia turut menghasilkan buku esei peribadi, Catatan Mimpi (2020) dan menterjemah buku mutiara kata Khalil Gibran, Pasir dan Buih (2022) yang diterbitkan oleh Bilik Penyair. Dia juga turut menterjemah puisi-puisi Adam Zagajewski (Malam Ialah Takungan, 2026) dan Alejandra Pizarnik (Kau Menjelma Bagai Dahaga, 2026) yang diterbitkan dalam bentuk pamflet.

Bagi memperdalamkan ilmu penerbitan buku, dia mengambil keputusan berhijrah secara tetap ke ibu kota Kuala Lumpur pada tahun 2020 untuk menjalani kursus Sijil Kemahiran Malaysia (Editorial) Tahap 3 (SKM3) di Akademi DBP, Dewan Bahasa dan Pustaka selama setahun setengah. Kini, selain tugas hakiki sebagai warga kerja di sebuah syarikat penerbitan buku di Bandar Sri Damansara, dia juga mengelola laman puisi dalam talian, Bilik Penyair (www.bilikpenyair.my), sudah tentu, pada sela-sela masa yang senggang.